.

Isnin, 23 April 2012

21 Buah Motosikal Dibakar Angkara Khianat



KUALA LUMPUR – Tidak sampai 24 jam kejadian lapan buah motosikal dibakar angkara khianat di Wangsa Maju dan Bandar Baru Sentul, kejadian sama turut berulang membabitkan 21 buah motosikal di Flat Sri Selangor di Jalan San Peng di sini awal pagi ini.
Kebakaran membabitkan pelbagai jenis motosikal itu berlaku di tempat letak kenderaan flat berkenaan kira-kira pukul 1.20 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak bomba dan penyelamat.
Saksi kejadian melihat empat lelaki berusia lingkungan 20-an bertopi keledar menggunakan petrol untuk membakar motosikal-motosikal berkenaan sebelum melarikan diri menaiki dua buah motosikal.
Difahamkan, kejadian pergaduhan dan simbah cat kerap berlaku di kawasan tersebut bagaimanapun kejadian awal pagi ini merupakan terburuk sejak 25 tahun perumahan ini dibina.
Lebih malang, dua buah rumah di tingkat dua dan tiga flat itu turut terjejas akibat asap api yang marak naik ke bahagian balkoni.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu namun ada penghuni warga emas yang terpaksa diberi bantuan pernafasan kerana terhidu asap tebal.
Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Kamil Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1.23 pagi sebelum tiba tidak lama kemudian bersama tiga jentera dari Balai Pudu dan Hang Tuah.
“Ketika pasukan kami tiba, api sedang marak sehingga hampir merebak ke unit kediaman berdekatan. Api bagaimanapun berjaya dikawal kira-kira pukul 1.35 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 1.43 pagi.
“Seramai 18 anggota terlibat memadamkan kebakaran. Punca kejadian masih disiasat namun kami tidak menolak kemungkinan ia berlaku angkara khianat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dalam pada itu, salah seorang mangsa, Mohd. Riduan Azwan Shah memberitahu, kejadian itu disedari selepas seorang jiran memaklumkan kepadanya.
“Saya terkejut apabila mendapati motosikal saya turut terbakar dalam kejadian itu. Saya berharap pihak berkuasa akan meningkatkan lagi rondaan dan keselamatan di kawasan ini,” katanya.  - MyOnlineNews

0 ulasan:

Catat Ulasan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More