KULIM – Seramai 27 bekas pekerja kilang Massive Paper Product Sdn Bhd di Taman Kenangan, Sungai Karangan dekat sini menerima pampasan penuh seperti yang dituntut ekoran penutupan kilang itu lebih setahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Semenanjung Malaysia (JTSM) Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamad berkata Mahkamah Buruh meluluskan sepenuhnya tuntutan yang dibuat pekerja-pekerja berkenaan melalui Jabatan Tenaga Kerja Daerah Kulim sebanyak RM136,797.05 yang dibuat pada 3 Okt 2010.
“Kilang berkenaan telah menamatkan operasi berikutan masalah kewangan pada Ogos 2010 menyebabkan seramai 27 pekerja terdiri pelbagai kaum hilang mata pencarian mereka dan terpaksa menganggur,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek pampasan itu di Pejabat JTSM di sini Ahad.
Beliau berkata atas perintah mahkamah, aset-aset milik kilang berkenaan dilelong dan berjaya memperoleh sebanyak RM404,050 dan setelah ditolak tuntutan syarikat kewangan dan bakinya RM136,707.05 disimpan Mahkamah Tinggi.
Katanya bekas pekerja-pekerja berkenaan menerima antara RM2,000 hingga RM10,000 setiap seorang bergantung kepada pendapatan semasa mereka. - MyOnlineNews







0 ulasan:
Catat Ulasan