.

Selasa, 24 April 2012

Bekas Imam Dijel 15 Tahun, 12 Sebatan Kerana Merogol



JOHOR BAHRU – Seorang bekas imam dihukum penjara 15 tahun dan sebatan 12 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan merogol seorang remaja berusia 13 tahun pada awal tahun lalu.
Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Akmal @ Basok Bakri Abdul Kader, 32, selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Nu’aman berkata, keterangan tertuduh ketika pembelaan hanya bersifat penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai serta tidak dapat menolak fakta bahawa dia telah merogol mangsa.
“Tertuduh sebagai seorang imam sepatutnya tahu hukum dan tidak patut melakukan perbuatan demikian. Malah, tertuduh sepatutnya memberi contoh yang baik kepada masyarakat dan menjaga nama baik institusi yang diwakilinya,’’ katanya.
Hukuman penjara diperintah berkuat kuasa mulai hari ini.
Tertuduh yang memakai baju kemeja T warna putih dan berbelang kelihatan tenang, namun sebaik sahaja keputusan dibacakan, dia mengalirkan air mata apabila dipeluk ahli keluarga yang lain.
Mengikut kertas pertuduhan, Nur Akmal yang sudah beristeri dan mempunyai seorang anak itu didakwa merogol mangsa di rumahnya di No.173, Jalan Camar 3, Taman Perling di sini kira-kira pukul 3 petang, 21 Februari 2011.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh disebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. ‘Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Sukhaimi Mashud. -MyOnlineNews

0 ulasan:

Catat Ulasan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More