.

Khamis, 26 April 2012

Berkat Pengalaman, Aznil Hj. Nawawi Kini Bergelar Ketua Personaliti TV Astro



Kalau hari ini anda tanyakan kepada sesiapa pun, siapakah personaliti televisyen yang paling anda ingati kerana bakat & berkaliber, Aznil Hj. Nawawi pasti tidak tercicir dari senarai.
Perjalanan karier Aznil Hj. Nawawi yang mencecah hampir 22 tahun nampaknya mendapat perhatian pihak Astro yang secara rasmi melantik beliau sebagai Ketua Personaliti TV Astro.
Tugas baru yang di’galas ke bahu Aznil Hj. Nawawi itu bakal menyaksikan pengacara popular ini membentuk bakat bakat baru juga mereka yang hadir dari bidang lain sebagai personaliti TV yang hebat.
Aznil Hj Nawawi mengumumkan berita gembira itu kepada para hadirin yang datang ke sidang media memperkenal barisan 20 perantis personaliti TV menerusi rancangan ON AIR.
“Selain daripada bakat bakat baru yang kita lihat hari ini, saya juga akan bertanggungjawab membentuk & mengajar wajah eksklusif Astro seperti Aaron Aziz, Zizan Raja Lawak dan yang lain,” ujar Aznil Hj. Nawawi hari ini. 
Tahniah buat Aznil Hj. Nawawi daripada kami di MyOnlineNews yang mengharapkan bakal ada ramai lagi pelapis personaliti TV yang lebih berkaliber atau sekurang kurangnya setaraf dengan apa yang anda miliki. Heh.


Rabu, 25 April 2012

Filem Minggu Ini: The Avengers




Superhero yang tampil dalam filem ini di’berikan layanan sama rata dan anda akan dapat rasakan yang setiap karakter walau sekecil pembantu Nick Fury mempunyai kesan dalam plot penceritaan The Avengers — yang boleh kami katakan 90% di’penuhi dengan aksi. 
Persengketaan ‘manja’ antara ahli The Avengers adalah antara elemen yang menjadi kegemaran kami dalam filem ini. Setiap masa, pasti akan ada konflik ego antara Iron Man & Hulk, Hulk & Thor, Captain America & Iron Man, Hawkeye & Black Widow — yang seringkali akan berakhir dengan jenaka sinis.

Legoland Pertama Asia Dibuka September Ini



NUSAJAYA — Legoland pertama Asia akan dibuka bagi perniagaan pada 15 September.
Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst berkata, taman tema berharga RM700 juta di kawasan seluas 76 ekar di Iskandar Malaysia, Johor itu kini sudah 75 peratus siap.
Beliau berkata, bulan lepas, kontraktornya memulakan kerja-kerja memberi tema kepada taman itu, dan bulan depan mereka akan mula memasang 50 juta kepingan lego dan model.
“Saya gembira mengumumkan bahawa hasil daripada usaha keras semua kontraktor kami, kami akan membuka taman itu beberapa bulan lebih awal daripada dijadualkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Legoland Malaysia di sini merupakan taman tema Legoland keenam di dunia dan yang pertama di Asia.
Taman itu yang ditampilkan dengan tujuh tema khas iaitu ”Lego kingdom”, ”imagination”, ”land of adventure”, ”lego technic”, ”the beginning”, ”lego city” dan ”miniland”, direka khas bagi keluarga yang mempunyai kanak-kanak berusia dari dua hingga 12 tahun.
Legoland Malaysia akan menampilkan lebih 40 tunggangan interaktif, pertunjukan dan pelbagai tarikan apabila ia dibuka kelak.
Taman-taman tema Legoland lain di seluruh dunia ialah di Denmark, United Kingdom, Jerman dan Florida di California, Amerika Syarikat.
Ini adalah taman kedua selepas taman Legoland Billund, Denmark, untuk menempatkan Menara Cerap di mana pengunjung dijulang naik ke ketinggian 41 meter untuk menyaksikan pandangan keseluruhan taman tema itu sambil menara itu berputar untuk melengkapkan satu pusingan dalam tempoh 50 saat. -MyOnlineNews

Nora Danish Menunaikan Umrah Di Hari Persandingan Jejai- Fasha


Pelakon cantik, Nora Danish ketika ditemui GUA petang tadi mengesahkan yang beliau tidak akan hadir ke majlis perkahwinan bekas suaminya, Jejai dengan pelakon, Fasha Sandha yang bakal berlangsung pada 27 April ini. Menurut pelakon Tentang Dhia ini selain tidak menerima kad jemputan, beliau juga memberitahu tidak akan berada di tanah air ketika hari majlis perkahwinan tersebut berlangsung.
“Nora tak dapat kad jemputan, tapi mungkin kerana mereka tahu Nora nak pergi ke umrah agaknya. Nora akan berangkat ke Mekah pada pagi Jumaat ini dan bakal berada di sana selama 13 hari,” ujar Nora ketika ditemui pada majlis pra pelancaran filem ‘Mencari Cinta’, di Perak Techno-Trade Centre, Ipoh, petang tadi.
“Bagi Nora, tak ada isu pun mereka tak menjemput Nora. Malah, Nora rasa lebih baik Nora tak ke majlis itu pun sebab nanti jika Nora pergi, takut akan jadi bahan cerita dan tajuk lain pula. Bagi Nora, biarlah mereka menikmati keindahan majlis itu bersama.”
Ditanya sama ada anaknya Putera Rayqal Ramli akan berada di majlis perkahwinan ayahnya dan adakah Nora menerima Fasha untuk menjadi ibu kepada Rayqal, Nora memberitahu, “Saya tak tahu anak akan pergi atau tidak, terpulang, sebab bila saya pergi umrah, anak saya akan berada di bawah jagaan keluarga Jejai.
“Mengenai hubungan Fasha dengan anak saya pula, biarlah dia menggelarkan dirinya ‘aunty’ saja kerana bagi saya, ibu biarlah seorang.”
Nora yang masih berhubung baik dengan bekas suaminya itu turut mengharapkan dengan perkahwinan Jejai dan Fasha, hubungan mereka semua akan kembali jernih.
Diusik bila pula giliran Nora untuk mengikut jejak seperti bekas suaminya itu mendirikan rumahtangga, Nora memberitahu, “Selalunya lelaki yang cepat kahwin. Nora tak fikir lagi kerana ingin fokus terhadap kerjaya dan anak dulu. Soal jodoh pertemuan, Nora serahkan pada Allah.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Nora sempat mengucapkan selamat pengantin baru kepada bakal pasangan suami isteri itu.
“Nora ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Fasha, tapi Jejai tak berapa nak barulah. Setelah apa yang terjadi selama ini, akhirnya jodoh mereka tak ke mana. Nora harap perkahwinan mereka akan kekal hingga ke akhir hayat.” -MyOnlineNews

RM1 Juta Menanti Atlet Negara Pertama Dapat Pingat Emas Olimpik!



KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat swasta sanggup menyumbang RM1 juta kepada atlet negara yang meraih emas pertama dalam kejohanan Olimpik London, Julai ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Seu yang mengumumkan perkara itu bagaimanapun enggan mendedahkan identiti syarikat tersebut buat masa ini.
Menurut beliau, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada keputusan rasmi mengenainya.
“Saya harap lebih banyak lagi pihak terutamanya syarikat swasta tampil untuk memberi sumbangan.
“Bukan saja untuk ganjaran pingat emas Olimpik. tetapi juga sebagai penaja kepada program pembangunan sukan yang dijalankan kerajaan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian rancangan televisyen ”Jejak ke London” di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini turut mengumumkan ganjaran RM1 juta kepada atlet negara yang meraih emas pertama Olimpik.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan atlet ke London iaitu ratu terjun, Pandelela Rinong; rakan sepasukan Bryan Nickson Lomas serta atlet memanah, Cheng Chu Sian. - MyOnlineNews

Siti Nurhaliza Berduet Dengan ‘Islam’s Biggest Rockstar’, Sami Yusuf


Nama besar dalam industri muzik Islam dunia, Sami Yusuf bakal mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada 14 Julai depan. Mempunyai kelompok peminat sebanyak 2 billion, Sami Yusuf bakal menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam bersempena dengan ‘Konsert Salaam Sami Yusuf’ yang dianjurkan oleh Offshore Entertainment Production Sdn Bhd.
“Ia satu penghormatan besar buat saya untuk berada di Malaysia kerana sudah lama saya ingin datang ke sini. InsyaAllah, saya akan tampilkan persembahan yang istimewa dan menarik khas untuk anda semua. Konsert dengan 18 buah lagu ini juga mempunyai banyak kejutan di mana saya ingin membuat sesuatu yang akan diingati oleh hadirin yang datang. InsyaAllah, ia akan jadi sebuah konsert yang menakjubkan,” ujar Sami Yusuf ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada masa yang sama, penyanyi serta komposer yang menerima jolokan ‘Islam’s Biggest Rockstar’ ini turut bakal melancarkan album keempatnya, ‘Salaam’. Menariknya, antara 18 buah lagu yang terkandung dalam album tersebut, salah satunya merupakan lagu duet Sami bersama penyanyi tersohor negara, Dato’ Siti Nurhaliza, ‘You Came To Me’.
“Saya rasa berbesar hati dapat berduet dengan Siti kerana dia seorang yang sangat berbakat. Saya juga gembira kerana dapat bekerjasama dengan beliau dalam album terbaru saya ini. Saya memilih beliau kerana selain seorang artis yang terbaik, beliau juga mempunyai vokal yang bagus, indah dan memukau.
“Saya tidak berapa gemar berduet, tapi bila saya lakukannya, saya akan pastikan orang yang berduet dengan saya ini berkongsi nilai dan idea yang sama dengan saya. Saya harap kolaborasi ini dapat membuahkan hasil dan diberkati, InsyaAllah,”ujar Sami yang baru saja selesai menjalani rakaman lagu tersebut bersama Dato’ Siti, Sabtu lalu.
Bagi Dato’ Siti pula, “Saya begitu teruja dapat melaksanakan duet bersama Sami. Mereka telah menawarkan kepada saya sejak beberapa bulan lalu dan saya memang teruja untuk berkolaborasi dengan Sami. Lagu beliau menjadi sumber rohani dan inspirasi buat semua orang dan saya harap, masyarakat Malaysia dapat hadir ke konsert beliau nanti.”
‘You Came To Me’ menampilkan gabungan lirik Inggeris, Bahasa Melayu dan Arab. Bagi mereka yang ingin mendengar lagu duet Sami dan Siti, jangan ketinggalan untuk menyaksikan ‘Konsert Salaam Sami Yusuf’ yang bakal berlangsung pada 14 Julai 2012 di Stadium Malawati, Shah Alam. Info tiket akan diberitahu kelak oleh pihak penganjur. - MyOnlineNews

Selasa, 24 April 2012

‘Ambillah Nyawaku’ - kulit pecah dan berdarah pabila kena panas


SUNGAI PETANI: “Saya sedih melihat keadaannya kerana setiap hari dia (Noor Ashikin) memohon kepada Tuhan agar ambil saja nyawanya kerana tidak tahan menanggung derita akibat kegatalan pada badannya yang dialami sejak Julai tahun lalu,” kata Suraya Maidin, 45, ibu kepada Noor Ashikin Mohd Irwan, 17, yang kulitnya melepuh dan berdarah tanpa diketahui puncanya.Keadaan itu menyebabkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari (SMKKJ) di sini, tidak ke sekolah kerana sukar memakai pakaian berikutan kulit badannya tertanggal dan berdarah sehingga tidak mampu menahan kesakitan.Suraya yang berniaga nasi lemak berkata, penyakit Noor Ashikin mula dikesan selepas dia mengadu gatal seluruh badan sepulang dari sekolah dan apabila membuka baju, mendapati seluruh kulit badannya menggelembung dan selepas itu pecah.
Menurutnya, sejak itu seluruh tubuh anaknya sentiasa berdarah dan Noor Ashikin tidak boleh terdedah kepada keadaan panas kerana kulitnya akan kembali menggelembung dan pecah serta berdarah menyebabkannya meraung kesakitan.Noor Ashikin masih menerima rawatan susulan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sejak awal bulan ini.Suraya yang juga ibu tunggal dan tinggal di Flet Paya Nahu di sini berkata, sejak mengalami penyakit itu, Nor Ashikin sudah beberapa kali dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan HSAH bagi menerima rawatan, tetapi doktor pakar gagal mengenal pasti penyakit anaknya. “Sebelum ini, dia pernah dirawat selama sebulan di HSB dan rawatan susulan di HSAH selepas penyakitnya didapati berkurangan. Bagaimanapun, selepas seminggu keluar hospital, penyakit itu datang kembali menyebabkan anak saya dimasukkan semula ke hospital.“Terbaru, 8 April lalu apabila dia dimasukkan ke HSAH akibat kulitnya tertanggal dan seluruh badannya berdarah.“Dia kini masih dirawat di HSAH dan keadaannya semakin beransur pulih, tetapi beberapa bahagian tubuh yang tertutup seperti ketiak, pinggang dan kedua-dua paha masih berdarah.“Saya sedih melihat keadaannya yang menanggung penderitaan. Tidurnya juga tidak lena kerana sakit, malah tempat tidurnya perlu dilapik dengan plastik bagi mengelak kulitnya yang tertanggal, melekat,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin, yang memohon sesiapa saja membantu mencari cara menyembuhkan penyakit anaknya itu.  -MyOnlineNews




Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More