.

Selasa, 24 April 2012

Pesta Air Malaysia Port Dickson 2012 Dari 4-6 Mei


SEREMBAN – Pesta Air Malaysia Port Dickson 2012 akan berlangsung di Pantai Cahaya selama tiga hari mulai 4 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata pelbagai aktiviti menarik dianjurkan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke pesta tersebut.
Antaranya ialah cabaran ski air antarabangsa, larian pantai di sebelah malam, cabaran paintball, acara sukan, karnival memancing, pertandingan band dan konsert.
Beliau berkata lebih RM80,000 hadiah berbentuk wang tunai dan sagu hati berserta trofi ditawarkan.
Mohammad Razi berkata lebih 130,000 orang dijangka mengunjungi pesta tersebut yang dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan dengan kerjasama kerajaan negeri. -MyOnlineNews

Serangan Di Dataran Merdeka: 3 Lelaki Ditahan



KUALA LUMPUR – Polis menangkap tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes serangan terhadap satu kumpulan yang sedang berkhemah secara haram di Dataran Merdeka pada Khamis lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata suspek berumur antara 20 dan 30 tahun itu ditangkap di Subang Jaya, semalam.
Tangkapan terbaru itu menjadikan jumlah yang ditahan setakat ini empat orang, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.Suspek pertama ditahan pada hari kejadian di Dataran Merdeka, sejurus selepas serangan.
Mohmad berkata tiga suspek terbabit terdiri daripada dua penganggur dan seorang tukang kimpal.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga 25 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh), katanya.
Dalam kejadian awal pagi Khamis lepas, satu kumpulan yang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendakwa diserang sekumpulan yang tidak dikenali di Dataran Merdeka ketika berkhemah secara haram di situ. -MyOnlineNews

KL Berdepan Serangan Geng Bakar Motosikal



KUALA LUMPUR – Selepas 23 kes membakar kereta mewah berlaku di sekitar ibu negara pada Mac lepas, perbuatan khianat itu kini menyasarkan motosikal pula dengan 32 kenderaan itu dibakar di kawasan kediaman di sini dalam tempoh 24 jam lepas.
Kejadian terbaru dilaporkan pada 1.23 pagi semalam apabila 21 buah motosikal milik penduduk Flat Seri Selangor, Jalan Sun Peng, di sini rentung selepas dibaling dengan minyak petrol di kawasan meletak motosikal sebelum si pelakunya melarikan diri.
Empat jam selepas kejadian itu, sebuah bengkel motosikal di Kampung Padang Balang, Gombak, di sini pula dibakar dipercayai angkara perbuatan khianat hingga menyebabkan dua buah motosikal rentung.
Awal pagi Ahad lepas, dua buah motosikal dan sebuah kereta milik penduduk Flat Sri Tioman, Taman Melati, di sini dibakar dalam kejadian pada 5.58 pagi sebelum enam lagi motosikal pelbagai jenis rentung selepas dipercayai dibakar suspek yang sama di Blok 61, Bandar Baru Sentul, tiga jam kemudian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, berdasarkan siasatan awal Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur, polis percaya terdapat unsur khianat dalam kesemua kejadian itu.
Beliau berkata, polis percaya kesemua kejadian ini dilakukan empat lelaki bertopi keledar berdasarkan keterangan beberapa saksi. -MyOnlineNews

Bekas Imam Dijel 15 Tahun, 12 Sebatan Kerana Merogol



JOHOR BAHRU – Seorang bekas imam dihukum penjara 15 tahun dan sebatan 12 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan merogol seorang remaja berusia 13 tahun pada awal tahun lalu.
Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Akmal @ Basok Bakri Abdul Kader, 32, selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Nu’aman berkata, keterangan tertuduh ketika pembelaan hanya bersifat penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai serta tidak dapat menolak fakta bahawa dia telah merogol mangsa.
“Tertuduh sebagai seorang imam sepatutnya tahu hukum dan tidak patut melakukan perbuatan demikian. Malah, tertuduh sepatutnya memberi contoh yang baik kepada masyarakat dan menjaga nama baik institusi yang diwakilinya,’’ katanya.
Hukuman penjara diperintah berkuat kuasa mulai hari ini.
Tertuduh yang memakai baju kemeja T warna putih dan berbelang kelihatan tenang, namun sebaik sahaja keputusan dibacakan, dia mengalirkan air mata apabila dipeluk ahli keluarga yang lain.
Mengikut kertas pertuduhan, Nur Akmal yang sudah beristeri dan mempunyai seorang anak itu didakwa merogol mangsa di rumahnya di No.173, Jalan Camar 3, Taman Perling di sini kira-kira pukul 3 petang, 21 Februari 2011.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh disebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. ‘Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Sukhaimi Mashud. -MyOnlineNews

Zahida Rafik: Elak Media, Hanya Twitter?





Kisah 1:
MyOnlineNews pasti ramai media yang sedang mencari pelakon, Zahida Rafik yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan seorang ahli politik bertaraf menteri baru-baru ini.
Namun,  MyOnlineNews  dengar ramai pihak media yang gagal mencarinya kerana apabila dihubungi, telefon Zahida Rafik telah dimatikan dan adakalanya tidak dijawab.
Biarpun tidak mahu menjawab telefon, namun yang peliknya, Zahida rajin pula mengemas kini akaun twitter miliknya dan menjawab persoalan berkaitan isu berkenaan.
Dalam entri twitter miliknya baru-baru ini MyOnlineNews  ada terbaca, dia hanya menyerahkan perkara ini kepada peguam belanya dan tidak mahu mengaku siapa selebriti wanita yang dipercayai telah dibela oleh menteri itu.
Terbaru,  MyOnlineNews  diberitahu oleh seorang rakan media yang panggilannya telah berjaya diangkat oleh nombor yang dipercayai milik Zahida Rafik.
Namun,  MyOnlineNews  diberitahu lagi yang menjawab panggilan itu bukan Zahida sebaliknya rakannya.
Rakan wanitanya itu memberitahu telefonnya ditinggalkan kepadanya kerana Zahida tiada di situ.
Pelik juga kerana tambah rakan  MyOnlineNews  itu lagi, dia diberitahu rakannya sendiri tidak tahu ke mana Zahida pergi. Biar betul?
MyOnlineNews pun tak pasti cerita rakan  MyOnlineNews  itu betul atau tidak, tapi itulah seperti yang didengarnya.
Amboi takanlah Zahida Rafik ingin lari daripada masalah ini, sampai telefon sendiripun ditinggalkan bersama orang lain?
Namun  MyOnlineNews  tidak berani untuk menuduh apa-apa, kerana mungkin dia tertekan apabila dihubungi dan ditanya ramai pihak mengenai isu sensitif itu.
Apa-apa pun, harap isu ini akan selesai dengan cepat dan kita sama-sama akan menemui jawapan siapa sebenarnya artis wanita yang dimaksudkan itu.
MyOnlineNews: Kalau tak jawapan telefon, jawab BBM boleh tak?
Kisah 2
PETALING JAYA – Aktres Zahida Rafik menjadi semakin popular selepas tersebar dakwaan dia menerima sejumlah wang daripada seorang menteri kanan sehingga mengundang pelbagai reaksi panas menerusi laman sembang Twitter milik pelakon itu.
Kebanyakan pengikut Twitternya iaitu di @zahida_rafik menghantar pesanan yang menyindir selain teguran pedas berhubung dakwaan kononnya dia menerima wang kira-kira RM1.5 juta daripada VIP berkenaan.
Salah seorang pengikut Twitter Zahida iaitu Fared Isa pada dua hari lalu menghantar mesej berbunyi: “Hi jutawan. Anda telah kantoi…Saya tidak pernah dengar nama anda sebelum ini hinggalah berita anda ini tersebar ke seluruh negara.”
Zahida pula membalas dengan berkata; “Sabar!!Teruskan usaha anda! Saya perlu tido sekarang, selamat malam! Esok jangan lupa tweet lagi tau…Sekurang-kurangnya saya seorang jutawan, anda pula?
Seorang lagi pengguna, Mohd Firdaus menghantar pesanan kepada Zahida lima hari lalu berbunyi: “Untung laaa @zahida_rafik hidup senang-senang sahaja hujung minggu dapat RM200,000. Nak duit beritahu sahaja dekat menteri. Saya harap berita ini satu kebenaran.”
Zahida pula membalasnya; “Maaf ye, saya bekerja keras untuk dapatkan duit. Jika kamu tak ada duit, saya boleh derma sedikit. Tidak apa, Allah akan tunjukkan kebenarannya.”
Bagaimanapun trend tersebut berubah apabila pengikut Twitter milik Zahida mula memberi komen yang positif terhadap pelakon itu apabila terdapat mereka yang menyokong dan memberi galakan kepadanya.
Seorang pengikut Twitter Zahida iaitu Tengku Iskandar menghantar mesej berbunyi; “Harap cepat selesai masalah ini sebelum makin melarat. Faham-faham sahaja la di Malaysia ini, semua hendak jadi hakim.”
Adlynn Jamlus pula menghantar mesej dengan meminta Zahida bersabar iaitu; “Bersabarlah dengan dugaan yang diberi… Insya-Allah ada hikmahnya.
Sehingga malam Isnin, akaun Twitter pelakon Anak Mami The Movie ini mempunyai 7,069 pengikut. -MyOnlineNews

Perdagangan Bayi: Warga Singapura Didakwa



KLANG – Seorang wanita warga Singapura yang lumpuh sebelah kaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi berusia 22 hari bagi tujuan eksploitasi, awal bulan ini.
Lee Hwee Bin, 36, didakwa memperdagangkan Lee Kelvin bagi maksud eksploitasi iaitu pemindahan milikan ke atas bayi itu dengan pertukaran wang ringgit di luar Starbucks Coffee, Jaya Jusco Bukit Tinggi, Klang kira-kira 11.30 pagi, 6 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Norsyaridah Awang menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Hwee Bin, yang didakwa merupakan orang tengah dalam kegiatan menjual bayi di sekitar daerah Klang, ditahan bersama tiga wanita lain dalam satu serbuan di Jaya Jusco Bukit Tinggi di sini 6 April lepas. -MyOnlineNews

Jutawan Ananda Krishnan Melawat Anaknya Dalam Hutan Bukit Bendera



GEORGE TOWN – Jutawan terkemuka, T. Ananda Krishnan meluangkan sedikit masa daripada kesibukan kerja untuk bertemu dengan anaknya, Ven Ajahn Siripanyo, seorang sami Buddha yang berada di Bukit Bendera di sini, Isnin lalu.
Dengan hanya berkemeja-T dan berseluar jean, taikun berusia 74 tahun itu tiba di tempat tumpuan pelancong berkenaan dengan menaiki sebuah kereta mewah jenis BMW dan ditemani beberapa pengawal peribadi kira-kira pukul 9 pagi, Isnin.
Beliau dibawa ke lokasi yang tidak diketahui jauh di dalam hutan di Bukit Bendera di mana anaknya berada di situ bersama dengan 60 sami yang lain.
Difahamkan Ven Siripanyo adalah anak tunggalnya daripada perkahwinan terdahulu.
Akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh merakamkan detik-detik pertemuan individu kedua terkaya di Malaysia itu bersama anaknya.
Ven Siripanyo dilaporkan berada di situ pada Ahad sebelum bermalam di sebuah bangunan ala kolonial di dalam hutan itu.
Menurut penduduk di situ, Ananda Krishnan membeli sebuah bangunan yang mempunyai 30 bilik itu tiga tahun lalu.
Akhbar itu turut melaporkan Ven Siripanyo tunduk sebagai tanda hormat apabila melihat bapanya.
Dia kemudiannya membawa bapanya ke sebuah taman di mana Ananda Krishnan mengambil gambar pemandangan sepanjang lawatannya.
Ananda Krishnan dilihat meninggalkan kawasan itu pada tengah hari manakala anaknya dan beberapa yang lain berlepas ke Thailand pada sebelah petang.
Ananda Krishnan atau nama ringkasnya, AK mempunyai harta kekayaan bernilai RM29.66 bilion menurut majalah Forbes.
Beliau merupakan individu kedua terkaya di Asia Tenggara selepas Robert Kuok dan menduduki tempat ke-89 di dunia.
Beliau memiliki empayar multimedia termasuk dua syarikat telekomunikasi Maxis Communications dan Measat Broadcast Network Systems (Astro). -MyOnlineNews


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More